U P S R COUNTDOWN


Countdown Clocks, Cute Countdowns at WishAFriend.com

Friday, November 19, 2010

SELAMAT BERCUTI!

Hari ini adalah hari terakhir sesi persekolahan untuk tahun ini. Kami warga sekolah yakin semua murid mesti seronok dan gembira apabila tibanya musim cuti sekolah. Tidak ketinggalan juga bagi guru-guru, pastinya kita semua gembira kerana pada kesempatan inilah untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tersayang dan sahabat handai yang telah lama tidak bertemu. Namun begitu ada juga dikalangan guru-guru SK Pekan Papar, mereka terpaksa bertugas pada waktu cuti. Hatta ada juga yang kena “jaga sekolah” dengan istilah lain jadi “sekuriti” sementara. Syabas kepada semua guru SK Pekan Papar kerana sanggup mencurah tenaga dan masa cuti untu kepentingan sekolah dan institusi pendidikan amnya.

Bagi mereka yang bergelar murid pula, mereka seharusnya menggunakkan masa cuti ini sebaik mungkin dalam erti kata tidak boleh membuang masa begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat. Perjalanan anda belum berakhir dan akan berhadapan dengan ujian penting pada tahun-tahun akan datang seperti UPSR, PMR, SPM, dan STPM. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebelum ini ramai yang tidak menggunakkan masa cuti ini sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran. Masa cuti digunakan untuk berseronok bersama rakan-rakan dengan menggunjungi pusat-pusat membeli belah, melepak tanpa tujuan, bermain game dan sebagainya. Perkara ini amat merugikan dan mereka sebenarnya tidak menghargai masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Bukanlah tidak boleh langsung, tapi sebaliknya ada masa untuk ini, dan ada masa untuk itu.

Selain itu, ada juga yang berpegang kepada pepatah ini, “masa cuti kita cuti, masa belajar kita belajar.” Saya tidak begitu pasti dari manakah datangnya pepatah seperti ini. Saya juga berpendapat, pepatah seperti ini tidak boleh diguna pakai oleh seseorang yang bergelar pelajar. Islam menganjurkan umatnya supaya menuntut ilmu sepanjang masa hinggalah ke liang lahad. Apa yang peliknya, apabila tiba waktu belajar, mereka juga tidak belajar. Ada sesetengah murid, apabila guru mengajar di hadapan, mereka berbual-bual di belakang dan kerja rumah yang di beri oleh guru sering mereka abaikan. Manusia yang membazikan masa adalah tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi. Mereka rugi di dunia dan juga rugi di akhirat.

Justeru itu, para ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan penting demi memastikan anak-anak memanfaatkan masa cuti ini sebaik mungkin. Hantarlah anak-anak mengikuti tusyen-tusyen, bawalah mereka pergi ke pesta-pesta buka dan sebagainya yang boleh member faedah dan manfaat kepada anak-anak demi kecermerlangan mereka kemudian hari. Bagi ibu bapa yang sibuk bekerja, luangkanlah sedikit masa untuk anak-anak. Bertanyalah masalah-masalah mereka, berilah dorongan kepada mereka dan temanilah ketika mereka belajar walaupun 5 minit kerana perkara-perkara seperti ini boleh merangsang dan menaikkan semangat anak-anak untuk belajar.

Akhir kalam, manfaatkanlah cuti anda sebaik mungkin dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah dan manfaat sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan Negara. Akhir sekali kami warga SK Pekan Papar ingin mengucapkan “Selamat Bercuti” kepada semua warga pendidik dan juga murid-murid dengan harapan apa jua yang kitalakukan semoga diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment