U P S R COUNTDOWN


Countdown Clocks, Cute Countdowns at WishAFriend.com

Friday, November 19, 2010

SELAMAT BERCUTI!

Hari ini adalah hari terakhir sesi persekolahan untuk tahun ini. Kami warga sekolah yakin semua murid mesti seronok dan gembira apabila tibanya musim cuti sekolah. Tidak ketinggalan juga bagi guru-guru, pastinya kita semua gembira kerana pada kesempatan inilah untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tersayang dan sahabat handai yang telah lama tidak bertemu. Namun begitu ada juga dikalangan guru-guru SK Pekan Papar, mereka terpaksa bertugas pada waktu cuti. Hatta ada juga yang kena “jaga sekolah” dengan istilah lain jadi “sekuriti” sementara. Syabas kepada semua guru SK Pekan Papar kerana sanggup mencurah tenaga dan masa cuti untu kepentingan sekolah dan institusi pendidikan amnya.

Bagi mereka yang bergelar murid pula, mereka seharusnya menggunakkan masa cuti ini sebaik mungkin dalam erti kata tidak boleh membuang masa begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat. Perjalanan anda belum berakhir dan akan berhadapan dengan ujian penting pada tahun-tahun akan datang seperti UPSR, PMR, SPM, dan STPM. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebelum ini ramai yang tidak menggunakkan masa cuti ini sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran. Masa cuti digunakan untuk berseronok bersama rakan-rakan dengan menggunjungi pusat-pusat membeli belah, melepak tanpa tujuan, bermain game dan sebagainya. Perkara ini amat merugikan dan mereka sebenarnya tidak menghargai masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Bukanlah tidak boleh langsung, tapi sebaliknya ada masa untuk ini, dan ada masa untuk itu.

Selain itu, ada juga yang berpegang kepada pepatah ini, “masa cuti kita cuti, masa belajar kita belajar.” Saya tidak begitu pasti dari manakah datangnya pepatah seperti ini. Saya juga berpendapat, pepatah seperti ini tidak boleh diguna pakai oleh seseorang yang bergelar pelajar. Islam menganjurkan umatnya supaya menuntut ilmu sepanjang masa hinggalah ke liang lahad. Apa yang peliknya, apabila tiba waktu belajar, mereka juga tidak belajar. Ada sesetengah murid, apabila guru mengajar di hadapan, mereka berbual-bual di belakang dan kerja rumah yang di beri oleh guru sering mereka abaikan. Manusia yang membazikan masa adalah tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi. Mereka rugi di dunia dan juga rugi di akhirat.

Justeru itu, para ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan penting demi memastikan anak-anak memanfaatkan masa cuti ini sebaik mungkin. Hantarlah anak-anak mengikuti tusyen-tusyen, bawalah mereka pergi ke pesta-pesta buka dan sebagainya yang boleh member faedah dan manfaat kepada anak-anak demi kecermerlangan mereka kemudian hari. Bagi ibu bapa yang sibuk bekerja, luangkanlah sedikit masa untuk anak-anak. Bertanyalah masalah-masalah mereka, berilah dorongan kepada mereka dan temanilah ketika mereka belajar walaupun 5 minit kerana perkara-perkara seperti ini boleh merangsang dan menaikkan semangat anak-anak untuk belajar.

Akhir kalam, manfaatkanlah cuti anda sebaik mungkin dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah dan manfaat sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan Negara. Akhir sekali kami warga SK Pekan Papar ingin mengucapkan “Selamat Bercuti” kepada semua warga pendidik dan juga murid-murid dengan harapan apa jua yang kitalakukan semoga diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Wallahu a’lam.

Tuesday, November 16, 2010

SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

   Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

   Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

   Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

   Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.

   Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

   Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

   Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

***Kami warga SK Pekan Papar tidak ketinggalan untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada semua rakyat Malaysia di mana saja berada.

Thursday, November 11, 2010

SEKALUNG TAHNIAH!

Penantian telah pun terjawab. Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 baru sahaja diumumkan. Seramai 494,493 calon yang telah menduduki UPSR pada tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Tepat pukul 10 pagi, Yg Bgh Guru Besar SK Pekan Papar, En.Tajudin Hj Hasbollah mengumumkan keputusan bagi calon-calon SK Pekan Papar. Seramai 5 orang calon yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran manakala seorang calon yang mendapat keputusan 4A 1B.

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Bagi calon yang lain. Teruskan usaha. Anda juga berjaya cuma tidak berpeluang seperti mereka yang lain. Buktikan pada peperiksaan SPM akan datang. Kami warga sekolah mendoakan supaya semua calon UPSR lebih berjaya pada masa hadapan. Tahniah sekali lagi.

Sila ke Album Sekolah untuk melihat gambar sekitar aktiviti berlangsung.

Wednesday, November 10, 2010

DATUK ABDUL GHAFAR MAHMUD KETUA PENGARAH PELAJARAN YANG BARU

KUALA LUMPUR: Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat kuasa hari ini, adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.


"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008. - BERNAMA

Monday, November 08, 2010

MAJLIS JAMUAN AKHIR TAHUN




Program anjuran Kelab Guru dan Staf ini akan diadakan pada 13hb November 2010 bertempat di Le Meridien Hotel Kota Kinabalu Grand Ballroom. Banyak acara menarik yang akan diadakan sepanjang majlis berlangsung. Semua warga kerja SK Pekan Papar dijemput hadir. Sebarang pertanyaan boleh rujuk ditalian sekolah 088-913648. Jumpa di sana (",)

MAJLIS KESYUKURAN

Gambar sekitar majlis berlangsung






Monday, November 01, 2010

MINGGU PEPERIKSAAN BERMULA

Peperiksaan akhir tahun sedang berlangsung hampir di semua sekolah seluruh negara dan tidak terkecuali dengan sekolah ini. Kepada semua murid SK Pekan Papar dan ibu bapa yang ingin mengetahui jadual peperiksaan akhir tahun ini sila semak di laman utama atau anda boleh download jadual tersebut melalui menu MUAT TURUN BAHAN.

Peperiksaan bagi Tahap 1 (Tahun 1-3) berlangsung pada 01 November 2010 hingga 03 November 2010. Manakala bagi Tahap 2 pula (Tahun 4-6) juga bermula pada 01 November 2010 hingga 04 November 2010.

Kami warga SK Pekan Papar mengucapkan " Selamat menghadapi peperiksaan kepada semua murid SK Pekan Papar". Semoga anda dapat menjawab dengan bersungguh-sungguh dan beroleh kejayaaan. Pencapaian anda di dalam peperiksaan ini sedikit sebanyak menjadi penentu masa hadapan anda..